Strict Standards: Non-static method JSite::getMenu() should not be called statically, assuming $this from incompatible context in /home/acreda/public_html/templates/yoo_balance/layouts/com_content/article/default.php on line 13

Strict Standards: Non-static method JApplication::getMenu() should not be called statically, assuming $this from incompatible context in /home/acreda/public_html/includes/application.php on line 539

ACREDA BANTU HAPUS MUSUH NOMBOR SATU NEGARA

             Mencari satu formula untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia sebenarnya tidak semudah yang dibayangkan. Penyalahgunaan dadah merupakan satu isu yang sering diperkatakan dan telah menjadi musuh utama negara. Oleh itu, satu inisiatif telah di ambil oleh pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan (CoE) berteraskan penyelidikan iaitu Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA USIM). Pusat ini telah ditubuhkan pada 1 Januari 2010 dan telah memulakan operasinya di Kampus USIM cawangan Nilai. ACREDA merupakan satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia yang menjalankan penyelidikan berkaitan penyalahgunaan dadah.

            Penubuhan pusat ini merupakan atas kesedaran untuk membantu negara dalam berhadapan dengan musuh nombor satu iaitu masalah penyalahgunaan dadah. Dalam mencapai maksud yang mulia ini, ACREDA telah berperanan sebagai pusat rujukan dalam usaha-usaha yang berstrategik untuk mengurangkan bahkan menghapuskan masalah penyalahgunaan dadah yang ada dalam masyarakat. Penubuhan ACREDA juga boleh dilihat sebagai suatu usaha untuk menjadikan USIM sebagai pusat rujukan dalam aspek-aspek berkaitan penyalahgunaan dadah melalui aktiviti penyelidikan, penerbitan, latihan dan perkhidmatan.

              ACREDA dibentuk berasaskan kepada landasan penubuhan Pusat Kecemerlangan di bawah Teras Ketiga Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu ‘Memperteguh Penyelidikan dan Inovasi’. Pusat ini  berfungsi menyalurkan maklumat dan menjadi platform kepada kaedah pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah yang berkesan.

            Hasil daripada penubuhan pusat ini, Program Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah SPADA telah ditubuhkan dan merupakan program Diploma lanjutan yang dijalankan selama 9 bulan untuk mereka yang terlibat dengan kerja-kerja pencegahan, rawatan dan pemulihan dalam penyalahgunaan dadah. Program pengajian ini telah bermula pada tahun 2005 dan setelah hampir 9 tahun berjalan, program ini telah dinaiktaraf kepada Program Fleksi Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah dan Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) SPADA mulai tahun 2011.

              Program Fleksi SPADA telah melahirkan graduan yang boleh menghayati bidang kaunseling penagihan untuk menjadikannya sebagai teras dalam kerja-kerja khidmat pengurusan penyalahgunaan dadah dan membentuk graduan yang berpengetahuan tinggi, berpandangan jauh, berakhlak mulia serta mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dalam bidang kaunseling penyalahgunaan dadah bagi menerajui pembangunan manusia di peringkat negara dan global.

               Bidang khusus atau ‘niche’ bagi pusat ini ialah Terapi Psikospiritual Islam dan merupakan satu kaedah perawatan kejiwaan dan kerohanian yang berteraskan kepada sumber-sumber ketuhanan dan amalan-amalan Islam yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah. Matlamatnya adalah untuk melahirkan kestabilan diri, jiwa dan roh disamping menekankan kepada kaedah pencegahan lebih baik daripada merawati dan ini dapat dicapai sekiranya seorang hamba itu benar-benar mempunyai kefahaman yang jitu tentang konsep pengabdian dan penyerahan diri kepada tuhan.

            ACREDA sentiasa melebarkan sayapnya dalam program pemulihan dan rawatan penyalahgunaan dadah melalui jaringan kerjasama serta menjalinkan hubungan dengan pihak industri dan agensi luar agar usaha untuk membanteras masalah penyalahgunaan dadah dapat diatasi dan dihapuskan. Pelbagai inisiatif telah dijalankan dan penganjuran program seperti Seminar Antarabangsa PREVENT, Program Komuniti Kampus Bebas Dadah dan siri bengkel sentiasa di adakan dari semasa ke semasa bagi memberi pendedahan serta input tentang bahaya dadah dan kesannya terhadap masyarakat. Usaha jitu ACREDA dalam menangani isu ini haruslah dipuji demi masa demi mencapai status negara bebas dadah menjelang tahun 2015.

PEJABAT PENTADBIRAN ACREDA

ARAS 3, FAKULTI KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN,
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA, BANDAR BARU NILAI, 71800 NILAI, NEGERI SEMBILAN
TEL: 06-798 8700/8708/8690/8421  |  FAX: 06-798 8699  |  EMAIL:  Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.